Day 2: Kundasang, Sabah
Ke mana kita hari ke-2 ni?
Hari ni kami akan ke Kundasang, Sabah, destinasi wajib kalau dah sampai ke Kota Kinabalu ni. Selesai je sarapan dengan masak ala kadar, kami terus check-out dengan memasukkan kembali kunci (access card) ke dalam mailbox dan seterusnya kami mula bergerak ke Kundasang sekitar jam 8.30 pagi. Cuaca pagi ni agak baik. Kami bergerak perlahan-lahan untuk melihat sekeliling ditambah dengan keadaan jalan yang agak kurang rata disebabkan terdapat banyak jalan yang dalam proses dinaiktaraf.
Separuh perjalanan, kami singgah di Rumah Terbalik untuk menggamit kenangan lalu. Sebenarnya ini kali kedua kami kembali ke Kota Kinabalu selepas 10 tahun. Pada masa itu anak-anak masih kecil. Pada masa tersebut, kita masih boleh mengambil gambar di luar Rumah Terbalik secara percuma dan hanya perlu bayar jika mahu masuk ke dalam rumah. Tapi hari ini, semua kawasan telah dipagar dan perlu membeli tiket walau pun untuk mengambil gambar dengan struktur di luar Rumah Terbalik. Di sini ada juga Muzium 3D, tapi kami tidak masuk. Kami hanya masuk Rumah Terbalik, itu pun selepas berbincang panjang lebar apabila tengok harga tiket 😀.
Harga tiket Rumah Terbalik adalah seperti berikut:
Dewasa ( > 13 tahun): RM12.00
Kanak2 (< 13 tahun): RM6.00
Perbandingan keluarga kami sekarang (gambar kiri) dan 10 tahun dulu (gambar kanan). Anak2 dah besar
Selesai mengambil gambar di kawasan sekeliling Rumah Terbalik (kita tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam Rumah Terbalik), kami pun bergerak pula ke destinasi seterusnya iaitu Jambatan Tamparuli yang terletak sekitar 5km dari Rumah Terbalik. Ketika kami sampai, terdapat sekumpulan remaja dari Persatuan Kebudayaan Tuaran yang mengadakan pertunjukan sambil memohon sumbangan seikhlas hati di tepi Jambatan Tamparuli. Selepas dihidangkan dengan sebuah lagu kebudayaan 😊, kami pun bergerak naik jambatan dan mengambil peluang snap 5-6 keping gambar sebagai tanda yang kami dah sampai di sini 😃.
Di atas Jambatan TamparuliKemudian kami meneruskan perjalanan ke Kundasang dan melalui Pekan Nabalu tetapi kami tidak singgah. 4km sebelum sampai ke Kundasang, kami singgah di Kinabalu Park yang merupakan salah satu laluan untuk masuk ke Gunung Kinabalu. Tiket nak masuk ke Kinabalu Park juga boleh tahan harganya.
Harga tiket terkini ke Kinabalu Park adalah seperti berikut:
Dewasa ( > 18 tahun): RM10.00
Remaja ( > 13 - 17 tahun): RM5.00
Kanak2 ( < 12 tahun): PERCUMA
Kami masuk juga Kinabalu Park sebab nak tengok apa yang ada dan kesimpulannya tiada apa-apa yang menarik. Ketika kami tiba sekitar jam 1.30 petang, awan meliputi Gunung Kinabalu. Jadi tak nampak apa-apa. Selepas snap 3-4 keping gambar, kami meneruskan perjalanan ke Kundasang yang dah tak begitu jauh.
Sampai je di Pekan Kundasang sekitar jam 2.30 petang, perut pun dah berkeroncong. Kami buat keputusan untuk makan di Nasi Ayam Antarabangsa yang ada sekali kepak ayam madu yang famous tu. Malangnya nasi ayam dan kepak ayam dah habis ðŸ˜. Kami pergi pula cari Sayap Ayam Madu Wak Ali ikut google map tapi bila sampai, kedai tutup sebab dalam proses renovation. Akhirnya kami ambil keputusan untuk bungkus kepak ayam madu dari Bob Chicken Wings dan makan di tempat penginapan kerana banyak kedai makan yang telah kehabisan makanan disebabkan ramainya manusia bercuti di Kundasang.
Pada kali ini kami menginap di Kiram's Village Cabin yang sering diwar-warkan oleh pelancong dari Semenanjung. Kami booking dan buat payment terus melalui website Kiram'sVillage di https://www.kirams-village.com/. Kami ambil kabin Pumpkin pada harga RM330.00 semalam dan sesuai untuk 6 orang kerana terdapat 2 katil queen dan 2 katil single.
Bukti booking dan bayaran di Kiram's Village Cabin
Pada masa ni, kami tak nampak pun apa yang menarik untuk tinggal di Kiram's Village selain dari bunga-bunga yang cantik ditanam sekitar kabin ditambah dengan perut yang kelaparan. Kiram's Village menyediakan peralatan asas untuk digunakan seperti periuk nasi automatik, dapur gas dan gas, pinggan, mangkuk, TV, water heater dan sebagainya. WIFI percuma juga disediakan dan sangat berguna kerana data CELCOM tidak memuaskan. Cuma towel tidak disediakan melainkan perlu disewa pada kadar RM3.00 sehelai. Kami masak nasi dan makan bersama kepak ayam yang dibeli ditambah dengan sardin dan telur dadar, alangkah nikmatnya. Selesai makan, kami bersolat dan berehat seketika sebelum plan nak keluar melihat kawasan sekitar sambil-sambil mencari di mana kedudukan Gunung Kinabalu kerana sehingga kini kami masih belum dapat mengesan kedudukan Gunung tersebut.
Sekitar jam 5.15 petang, kami keluar dan Subhanalllah rupa-rupanya dari pintu bilik Pumpkin ni kami dapat melihat dengan jelas Gunung Kinabalu. Rupa-rupanya kami tak dapat kesan kerana gunung tersebut diliputi awan tebal. Kami ambil peluang untuk snap gambar berlatar belakangkan Gunung Kinabalu dan juga di kawasan sekitar. 15 minit kemudian, Gunung Kinabalu kembali hilang diliputi awan tebal.
Gunung Kinabalu dari depan cabin PumpkinCuaca di Kiram's Village Cabin sangat sejuk dan dicadangkan untuk bawa baju sejuk dan stoking supaya selesa terutama ketika nak tidur malam.
Tamat untuk hari ke-2. Esok kami akan pergi ke Desa Dairy Farm yang dikatakan umpama Little New Zealand dan Fish Spa di Sg Moroli sebelum kembali ke Kota Kinabalu.
Jom kita Zzzzzz. Jumpa lagi esok










Comments
Post a Comment